Tuesday, March 24, 2009

PENGANTAR PENGAJIAN ISLAM
IFEH1110
PENGGUNAAN STUNNING DALAM PENYEMBELIHAN HALAL MENURUT ISLAM DAN SAINS

Sains Gunaan dgn Pengajian Islam
AKADEMI PENGAJIAN ISLAM
UNIVERSITI MALAYA

NUR SHUHADA FARHAN BINTI CHE ANWAR IES080063
MURNIANA SHAZWEN BINTI SHAFIEN IES080044
SYARIFAH MUNIRAH BINTI SAREH HASAN IES080093

PEMERIKSA: USTAZ MOHAMMAD AIZAT BIN JAMALUDIN


KANDUNGAN
LATAR BELAKANG MASALAH
OBJEKTIF KAJIAN
SKOP KAJIAN
ISI KAJIAN
i. PENGENALAN STUNNING
ii. JENIS-JENIS STUNNING
iii. SAMPEL KAJIAN
iv. PERBINCANGAN MASALAH
v. PANDANGAN ULAMAK DAN
BADAN ISLAM
KAEDAH FIQHIYYAH
RUMUSAN
BIBLIOGRAFI
LAMPIRAN



PENGENALAN

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah (1:168)

يأيها الناس كلوا مما في الأرض حللا طيبا ولاتتبعوا حطوت الشيطن انهۗ لكم عدو مبين ÇÊÏÑÈ
Maksudnya:
Wahai manusia! makanlah dari makanan yang halal dan baik yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.[1]

Islam mensyariatkan kita memilih makanan yang halal sahaja untuk dimakan oleh hamba-hambanya yang beriman. Makanan hanya datang dari dua sumber iaitu haiwan dan tumbuhan. Menurut kajian sains makanan dari sumber haiwan seperti daging adalah lebih mudah dicemari oleh bekteria negetif yang boleh merosakkan sistem tubuh badan manusia. Berbeza dari sumber jenis tumbuhan yang mempunyai bekteria positif dan kurang memberi impak kepada sistem dalam tubuh badan manusia.[2]

Persoalannya sejauh manakah keprihatinan kita terhadap produk makanan halal serta sumber dan cara pemprosesan daging ternakan dilakukan? Untuk itu kumpulan kami telah melakukan sedikit kajian tentang Penggunaan Stunning dalam Penyembelihan Halal menurut Sains dan Islam.

Sebelum kami lanjutkan perbincangan tentang kajian kami, kami ingin menggariskan dahulu tentang konsep penyambelihan dalam Islam. Sembelihan bermaksud menghilangkan nyawa binatang untuk dimakan dengan menggunakan sesuatu yang tajam. Semua binatang halal dimakan apabila disembelih dengan nama Allah kecuali ikan dan belalang kerana ia adalah bengkai yang suci dan tidak perlu disembelih.


Syarat-syarat sembelihan ialah :

i. Sembelihan hendaklah dilakukan pada binatang yang bernyawa dalam hayat mustariqah (nyawa tetap), ia dilakukan dengan memutuskan halkum dan urat mari’nya.

ii. Penyembelih terdiri daripada orang Islam atau ahli kitab. Sembelihan kanak-kanak islam dan anak-anak kafir kitabi yang mumayyiz (berakal) adalah halal. Bagi penyembelihan yang dilakukan oleh kanak-kanak yang tidak mumayyiz, orang gila dan orang mabuk adalah halal tetapi makruh.

iii. Binatang yang disembelih adalah binatang yang halal. Ia terdiri dari binatang yang diternak seperti lembu, kambing, biri-biri, kerbau dan lain-lain dan bintang buruan seperti rusa, kijang dan lain-lain.

iv. Alat penyembelihan hendaklah tajam. Ianya boleh diperbuat daripada besi, emas tembaga, batu, kaca, buluh dan lain-lain. Kuku, gigi, taring, dan tulang tidak boleh dijadikan alat untuk penyembelihan.


OBJEKTIF KAJIAN

Antara objektif utama kajian ini dilakukan ialah:

Untuk memahami tentang kaedah-kaedah fiqhiyyah yang digunakan dalam menentukan sesuatu hukum.

Untuk mengetahui kaedah dan cara penggunaan stunning dalam penyembelihan haiwan.

Mengkaji dan memahami tentang isu-isu penggunaan teknologi canggih yang dilakukan dalam proses penyembelihan khususnya dan proses pembuatan makanan amnya.

Mengetahui pandangan ulamak dalam menangani isu-isu penyembelihan yang menggunakan teknologi moden.

Mendapatkan lebih banyak maklumat berkaitan status halal haram sesuatu makanan.

Membandingkan tentang kelebihan dan kekurangan penggunaan teknologi moden dalam proses penyembelihan.


SKOP KAJIAN

Setelah melakukan analisa masalah dan perbincangan tentang isu yang akan dibentangkan, kami telah membahagikan skop kajian kami kepada lima perkara iaitu:

i. Pengenalan tentang stunning melalui isu yang kami bawakan dalam kajian kami iaitu berkaitan dengan Penggunaan Stunning Dalam Penyembelihan Halal.

ii. Jenis-jenis stunning. Isu ini membincangkan tentang jenis-jenis stunning yang digunakan secara meluas di negara pengeksport utama daging dan waterbath stunning yang digunakan di Malaysia.

iii. Sampel kajian. Sampel kajian adalah tentang penggunaan waterbath stunning yang diaplikasikan pengggunaannya oleh syarikat Ayamas.

iv. Pandangan ulamak dan badan Islam berkaitan penggunaan stunning.

v. Kaedah fiqhiyyah yang digunakan dalam menentukan hukum.

KONSEP KAJIAN / ISI KAJIAN

PENGENALAN STUNNNING

Stunning digunakan sebagai salah satu cara untuk menjadikan binatang yang hendak disembelih tidak sedar untuk beberapa saat bagi mengurangkan kesakitan.[3] Stunning ialah kaedah memengsankan haiwan terlebih dahulu sebelum disembelih supaya haiwan tersebut tidak merasa sakit ketika penyembelihan dilakukan. Penggunaan stunning telah digunakan dengan meluasnya oleh negara-negara barat terutamanya pengeluar utama daging seperti di New Zealand, Australia, Amerika Syarikat dan lain-lain.

Animal Welfare Council mendakwa bahawa tujuan utama penggunaan stunning ini digunakan secara meluas adalah kerana penggunaan stunning dapat menenangkan haiwan dan akan memudahkan kerja-kerja penyembelihan. Dalam pembentangan kami baru-baru ini, kami telah diminta untuk menerangkan tentang bagaimana ia dapat memudahkan kerja-kerja penyembelihan? Ianya bermaksud dengan penggunaaan stunning maka tenaga kerja yang diperlukan adalah sedikit kerana ianya sudah tidak memerlukan ramai orang untuk memegang lembu sebelum disembelih seperti yang diamalkan oleh masyarakat kita. Ini juga berikutan jumlah lembu yang perlu disembelih adalah sangat banyak. Selain itu juga penggunaan stunning dapat menjimatkan masa dan meningkatkan produktiviti pengeluaran disamping dapat meningkatkan kualiti daging kerana kurang berlaku ketegangan ke atas haiwan semasa penyembelihan dilakukan.[4]

Sebahagian golongan di barat menganggap cara penyembelihan yang dilakukan oleh umat Islam adalah kejam. Justeru mereka mengetengahkan pendekatan baru yang dikenali sebagai stunning sebelum penyembelihan dilakukan ke atas haiwan. Stunning bermaksud haiwan yang akan disembelih dipengsankan terlebih dahulu agar ia tidak berasa sakit ketika penyembelihan dilakukan. Pendekatan ini dianggap tidak kejam, benarkah begitu?


JENIS-JENIS STUNNING

Terdapat dua jenis stunning yang digunakan antaranya ialah Captive Bolt dan Electrical Stunning.

Captive Bolt
Captive Bolt pula terbahagi kepada Penetrative Captive Bolt, Non-Penetrative Captive Bolt (Mushroom-Head Stunner) dan Pneumatic Captive Bolt.

Penetrative Captive Bolt
Menggunakan Pistol captive bolt yang mengandungi sebiji besi keluli yang tajam dihujungnya dan apabila tembakan dilakukan ia akan menembusi otak melalui impak yang sangat kuat. Tembakan biasanya dilakukan pada dahi dan menyebabkan kerosakan pada bahagian-bahagian tertentu pada otak dan menyebabkan haiwan tersebut pengsan kesan dari kerosakan itu.
Manakala jika tidak disembelih haiwan tersebut akan mati. Bagi lembu alat kejutan akan diletakkan di tengah dahi manakala bagi yang memerlukan otak lembu, mereka akan meletakkan alat kejutan di ruangan belakang kepala lembu. Posisi ini kurang efektif dan posisi dahi disyorkan.[5]

Non-Penetrative Captive Bolt ( Moshroom-Head Stunner)
Ianya sama juga seperti Penetrative Captive Bolt tetapi ia menggunakan captive bolt yang berbentuk cembung. Kaedah ini mengetuk dan atau mengenakantekanan kepada tempurung kepala tanpa menembusi tengkorak. Kejutan alat pemukul ini datang dari tembakan katrij kosong atau tekanan angin yang memantulkan kepada pemukul jenis mushroom-head dan mengetuk di kepala haiwan.

Kejutan ini akan mewujudkan satu gelombang tekanan dalam rongga otak apabila ketukan berlaku dan akan menyebabkan haiwan tersebut pengsan. Walaupun kaedah ini tidak menembusi tengkorak dan tidak mencederakan otak, namun kajian yang dilakukan oleh Dr Mohamed Lutfi dari University Of Queensland, Australia di lapan buah pusat penyembelihan dalam masa 20 bulan pada tahun 2003 hingga 2004 mendapati bahawa 80% - 95% haiwan yang dikaji mengalami keretakan dan pecah tengkorak dan 5% - 20 % mengalami lekukan di tengkorak.


Pneumatic Captive Bolt.

Bagi captive bolt yang dikenali sebagai pneumatic Captive Bolt Gun pula mempunyai ruang udara di hujungnya yang memberi tekanan udara ke dalam otak setelah tengkorak ditembusi. Udara ini memberi tekanan kepada bahagian tertentu dan menyebabkan haiwan tersebut pengsan.

Electrical Stunning
Manakala electrical stunning pula terbahagi kepada dua jenis iaitu electrical shock dan waterbath.

i. Electrical Shock
Kejutan elektrik di kepala sahaja digunakan untuk memengsankan lembu, kambing dan biri-biri. Kaedahnya ialah dengan meletakkan sepasang penyepit di kedua-dua belah kepala haiwan dan mengalirkan aliran elektrik ke otak. Aliran elektrik dialirkan dengan kadar yang sesuai dan tempoh masa yang sesuai mengikut jenis haiwan, saiz dan jantina. Ini adalah begi mengelakkan aliran elektrik mengalir ke seluruh badan yang akan menyebabkan jantung berhenti dan boleh membawa kepada kematian haiwan tersebut.

Kajian yang dilakukan bersama antara Muslim World League dan WHO pada 1986 mendapati bahawa pelaksanaan electrical stunning head sahaja yang tidak menyebabkan kematian haiwan. Sekiranya tidak disembelih, ia akan sedar sepenuhnya tetapi berpandukan beberapa syarat.


Syarat-syarat tersebut ialah:
Arus elektrik dialirkan atas kepala haiwan bagi kambing dan biri-biri manakala di bahagian hidung bagi lembu.

Arus aliran elektrik tidak boleh melebihi had yang ditetapkan, 0.75 ampere bagi kambing dan 2.0 ampere bagi lembu.


ii. Waterbath stunning

Sejenis alat elektrik yang menggunakan medium air untuk kejutan haiwan sebelum disembelih. Kaedah ini digunakan untuk haiwan beburung seperti ayam, itik dan angsa. Haiwan akan digantung kaki ke atas pada besi yang bergerak ke satu takungan air yang mempunyai aliran elektrik. Juruteknik yang bertauliah akan mengawal kekuatan arus elektrik bagi memastikan aliran tidak terlalu tinggi.

Bagaimanapun daripada hasil kajian yang dilakukan oleh ahli Jawatankuasa Mengkaji Bahan Makanan dan Barangan Gunaan Orang Islam mendapati bahawa daripada sampel 50 ekor ayam yang menggunakan kaedah ini didapati 4 ekor tidak bergerak dan kemungkinan mati sebelum disembalih.[6]

SAMPEL KAJIAN

Kami telah mendapat satu sempel kajian tentang penggunaan water stunner di Malaysia. Kajian ini telah dilakukan oleh saudara Mohd Izuan Moin, tesis yang dilakukan berjudul Kaedah Penyembelihan Ayam secara moden (water stunner) Dianalisis Mengikut Perspektif Fiqh pada tahun 2004.

Kajian telah dilakukan ke atas pusat penyembelihan Ayamas Food Corporation Bhd. Sebelum disembelih ayam akan digantung pada besi dan melalui satu tangki yang mengandungi air. Ayam akan melaluinya selama 4 saat. Di dalam air itu terdapat aliran elektrik yang dikawal. JAKIM meluluskan kaedah ini dengan syarat arus yang dikenakan tidak melebihi daripada 40 volt.

Mengenai kemungkinan ayam itu akan mati sebelum disembelih atau hampir mati, penyembelihan perlu dilakukan dalam beberapa saat iaitu lebih kurang 20 saat. Tetapi jika ayam tidak disembelih dalam masa 2 minit, ia akan bangkit dan segar semula.
Penyembelih yang dilantik adalah mahir kerana semasa memegang kepala ayam dia dapat merasa sama ada hayat mustarikh ada atau tiada.kalau didapati sudah lemah, maka ayam tersebut serta-merta akan dibuang. Dalam Islam yang menjadi kekeliruan bukanlah masalah water stunner, ramai orang yang tidak memahaminya dan menyatakan kaedah stunner tidak boleh digunakan. Masalah sebenarnya ialah binatang itu mestilah hayatul mustaqirrah yang masih kuat sebelum disembelih, maka sembelihannya adalah harus dan halal dimakan.

Mengenai kemungkinan ayam itu dimasukkan ke dalam takungan air panas sebelum ianya benar-benar mati, disini ai menggunakan proses halal checker pada dua bahagian iaitu bahagian yang memastikan sembelihan itu betul atau tidak, dan bahagian yang memastikan ayam itu betul-betul mati atau tidak. Sebelum di celup didalam air panas ayam akan diberi masa selama 3.5 minit untuk memastikan ia benar-benar mati. Jika ayam itu didapati tidak sempurna sembelihannya, maka ayam itu akan dibuang.

Selepas proses mencabut bulu dilakukan, ayam tersebut diperiksa lagi untuk mengetahui sama ada mempunyai penyakit atau tidak. Ianya biasa dikawal selia oleh pegawai di Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan juga pegawai Ayamas.[7]


PERBINCANGAN MASALAH

Benarkah pendekatan barat dengan stunning tidak menzalimi binatang? Mengikut Rebecca Smith dalam artikel Sentenced to Death yang dilaporkan dalam laman web rasmi Viva (Vegetarians International Voice for Animals) di viva.org.uk, setiap tahun 900 juta binatang ternakan disembelih untuk dimakan di UK. Beliau menjelaskan, undang-undang UK menuntut agar setiap haiwan dipingsankan terlebih dahulu sebelum sembelihan dilakukan.

Tujuannya ialah agar setiap haiwan tidak berasa sakit ketika sembelihan dilakukan. Namun, kata Rebecca Smith, "kami telah menganalisi kajian-kajian saintifik yang terkini serta mendapat pendapat pelbagai pakar berhubung perkara ini dan kami mendapati apa yang sebenarnya berlaku amat membimbangkan. Sebenarnya, pendekatan yang dilakukan adalah tidak efektif menyebabkan puluhan juta haiwan berada dalam keadaan sedar ketika sembelihan dilakukan. Setiap tahun lebih kurang 1.8 juta khinzir dan 5 juta kambing biri-biri yang dipingsankan melalui kejutan elektrik sedar semula ketika penyembelihan dilakukan.

Tambahan dari itu terdapat kajian yang menunjukkan penggunaan kejutan elektrik memang tidak berkesan untuk menyebabkan haiwan pingsan. Mengikut seorang pakar, Dr Harold Hillman, haiwan sebenarnya berasa sakit ketika kejutan elektrik dikenakan dan baginya ini merupakan satu bentuk penyeksaan. Berhubung dengan penggunaan pistol berpeluru seperti pengancing besi (captive bolt pistol), setiap tahun penggunaan teknik yang salah menyebabkan 230,000 kambing terpaksa menanggung kesakitan selepas tembakan dilakukan di kepala. Kadangkala tembakan yang kedua terpaksa dilakukan disebabkan tembakan yang pertama gagal menyebabkan kambing-kambing itu pingsan.

Kajian juga menunjukkan penggunaan kejutan elektrik melalui tangki air (electric waterbath) ke atas itik, ayam, turkeys, geese juga tidak mencapai matlamat yang dikehendaki. Lebih kurang 62 juta daripada binatang ternakan ini sedar semula ketika penyembelihan dilakukan."[8]

PANDANGAN ULAMA DAN BADAN ISLAM MENGENAI ISU PENGGUNAAN STUNNING

Ketetapan Majma’ al-Fiqh al-Islami (Islamic Fiqh Academy)

Haiwan yang disembelih secara syarak selepas dikenakan kejutan adalah harus dimakan sekiranya haiwan itu masih hidup sebelum disembelih.

Penggunaan stunning hendaklah mengikut syarat-syarat berikut iaitu kedua-dua elektrok perlu dikenakan di kedua-dua belah kepala di antara mata dan telinga atau di tengah-tengah dahi. Voltage hendaklah antara 100-400 volt. Kekuatan arus elektrik ialah antara 0.75 dan 1.0 bagi kambing, antara 2.0 dan 2.5 bagi lembu. Arus elektrik hendaklah dialirkan dalam tempoh 3 hingga 6 saat.

Penggunaan Penetrative Capative Bolt dan Pneumatic Captive Bolt Gun adalah tidak harus. Electrical stunning (waterbath) adalah tidak harus kerana kadar kematian sebelum sembelihan dilakukan adalah tinggi. Menggunakan kejutan gas karbon dioksida atau Mushroom Head Gun tidak haram kerana tidak membawa kematian sebelum disembelih.[9]

Fatwa Syeikh Gadul Haq Ali Gadul Haq

Beliau menegaskan bahawa ia bergantung kepada beberapa syarat sekiranya cara itu dapat menenangkan haiwan sebelum disembelih serta melemahkan tendangannya semasa disembelih dan kejutan elektrik tidak memberi kesan kepada haiwan.[10]

Fatwa al-Azhar
Universiti al-Azhar telah melantik jawatankuasa khas untuk membuat keputusan tentang kaedah ini .Keputusannya ialah:
“ Negara Islam yang melaksanakan kaedah moden dalam sembelihan tiada larangan dalam agama. Ianya halal selagi kaedah baru itu bersih dan menyebabkan pendarahan. Sekiranya cara ini lebih cepat dan tepat kaedah tersebut adalah bertepatan dengan ihsan yang di anjurkan oleh Rasulullah”.

Ketetapan Arab Gulf Cooperation Council’s (GCC)

GCC telah mengeluarkan standard halal yang digunakan untuk negara Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan UAE.Standard tersebut ialah:
Tidak dibenarkan memukul kepala haiwan atau menggunakan kaedah lain yang seumpamanya.
Binatang hendaklah masih dalam keadaan hidup ketika dikenakan electrical stunning bagi memenuhi syarat sah sembelihan. Sekiranya ia mati sebelum disembelih ia dikira dalam golongan “al-mauquzah” dan tidak halal dimkan.

Pendapat Dr. Wahbah al-Zuhayli

Tidak ada larangan menggunakan apa-apa cara untuk melemahkan haiwan ketika hendak disembelih tetapi dengan syarat tidak menyeksanya.Islam membenarkan pengunaan dadah sebelum disembelih sekiranya ia tidak mematikan haiwan tersebut. Penggunaan karbon dioksida juga dibolehkan asalkan tidak menyakiti haiwan tersebut. Penggunaan CBP, benda berat, aliran elektrik dan sebagainya tidak dibenarkan kerana menyeksa haiwan tersebut. Tetapi haiwan tersebut boleh dimakan selepas disembelih jika ia masih mempunyai hayat mustaqirrah.[11]




Hukum electrical stunning sahaja dibincangkan manakala CBP belum lagi dibincangkan dalam muzakarah tersebut. Terdapat juga pandangan agar fatwa ini dikaji semula. Tarikh keputusan ini dikeluarkan ialah pada 29 September 2005[12].

Kaedah stunning jenis Penetrative Captive Bolt dan Non Penetrative Captive Bolt (Mushroom Head Gun) adalah haram dan tidak dibenarkan kerana ia boleh menyebabkan kematian haiwan. Hanya kaedah Kejutan Elektrik (Electrical Stunning) sahaja dibenarkan tertakluk kepada syarat-syarat berikut :

Stunner yang digunakan adalah jenis kejutan di kepala sahaja (head only stunner)
Kekuatan arus elektrik hendaklah dikawal (tidak boleh melebihi had yang ditetapkan) iaitu antara 0.75 ampere untuk kambing, 2.0 ampere untuk lembu dan tempoh masa aliran elektrik ialah antara 3-6 saat;
Perlu dikawal selia oleh petugas muslim yang bertauliah.

Kaedah Waterbath Stunning untuk ayam dan itik (poultry) adalah diharuskan dengan syarat;

Kekuatan arus elektrik adalah dikawal supaya tidak mematikan haiwan
Perlu dikawalselia oleh petugas muslim yang bertauliah.
Penggunaan dadah dan karbon dioksida dalam prosedur sembelihan adalah diharuskan dengan syarat tidak menyeksa atau mematikan haiwan tersebut.












Hujah dan Dalil.

Antara dalil yang di gunakan dalam menangani isu ini ialah melalui firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 3

حرمت عليكم الميتة والدم ولحم الخنزير وما احل لغير ألله به والمنخنقة والموقودة والمتردية والنطيحة وما اكل السبع الا ما ذكيتم ,وما ذبح على النصب وأن تستقسموا بالازلام ذلكم فسقۗ اليوم يئس الذين كفروا من دينكم واتممت عليكم نعمتي ورضيت لكم الاسلام ديناۗ فمن اضطر في مخمصة غير متجانف لاثم فان الله غفور رحيم۞
Terjemahannya:
Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging hewan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang terpukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya, dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala. dan (diharamkan juga) mengundi nasib dengan anak panah, (mengundi nasib dengan anak panah itu) adalah kefasikan. pada hari ini,orang-orang kafir Telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. pada hari Ini Telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan Telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan Telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu. Maka barang siapa terpaksa. Karena kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.[13]








Hadith yang digunakan adalah seperti berikut:

‏عَنْ ‏ ‏رَافِعِ بْنِ خَدِيجٍ ‏ ‏قُلْت :يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا لَاقُو الْعَدُوِّ غَدًا وَلَيْسَتْ مَعَنَا ‏ ‏مُدًى ‏ ‏قَالَ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏أَعْجِلْ أَوْ أَرْن ما ِ‏أَنْهَرَ الدَّمَ ‏ ‏وَذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ فَكُلْ لَيْسَ السِّنَّ وَالظُّفُرَ وَسَأُحَدِّثُكَ أَمَّا السِّنُّ فَعَظْمٌ وَأَمَّا الظُّفُرُ ‏ ‏فَمُدَى ‏ ‏الْحَبَشَةِ ‏ ‏قَالَ وَأَصَبْنَا ‏ ‏نَهْبَ ‏ ‏إِبِلٍ وَغَنَمٍ ‏ ‏فَنَدَّ مِنْهَا ‏ ‏بَعِيرٌ فَرَمَاهُ رَجُلٌ بِسَهْمٍ فَحَبَسَهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏إِنَّ لِهَذِهِ الْإِبِلِ ‏ ‏أَوَابِدَ ‏ ‏كَأَوَابِدِ ‏ ‏الْوَحْشِ فَإِذَا غَلَبَكُمْ مِنْهَا شَيْءٌ فَاصْنَعُوا بِهِ هَكَذَا
Maksudnya:Hadis Rafi' bin Khadij r.a katanya: Aku berkata: Wahai Rasulullah, kami akan menemui musuh esok sedangkan kami tidak mempunyai pisau. Rasulullah s.a.w bersabda: Segerakanlah atau sembelihlah dengan apa saja yang boleh menumpahkan darah dengan menyebut nama Allah, engkau boleh memakannya asalkan alat tersebut bukan gigi dan kuku. Aku akan nyatakan kepada kamu. Adapun gigi, ia adalah tulang manakala kuku pula adalah pisau orang Habsyah iaitu Ethiopia. Rafi' berkata: Kemudian kami mendapatkan rampasan perang berupa unta dan kambing. Ada seekor unta cuba melarikan diri. Seseorang melepaskan panah ke arahnya dan lalu ia ditangkap. Rasulullah s.a.w bersabda: Memang unta itu ada yang liar seperti binatang liar lain. Apabila kamu mengalami keadaan demikian maka bertindaklah seperti tadi.[14]


ان الله كتب الاحسان علي كل شئ فاذا قتلتم فأحسنوا القتلة واذا ذبحتم فأحسنوا الذبيحة وليحد أحدكم شفرته وليرح ذبيحته
Maksudnya
Sesungguhnya Allah swt memerintahkan supaya berbuat baik atas sesuatu maka,apabila kamu membunuh maka bunuhlah dengan baik. Apabila kamu menyembelih haiwan, sembelihlah dengan cara yang baik,maka hendaklah kamu menajamkan pisaunya dan merehatkan sembelihannya(dengan mempercepatkan sembelihan).



KAEDAH FIQHIYYAH YANG DIGUNAKAN DALAM MENENTUKAN HUKUM

Antara kaedah-kaedah fiqhiyyah yang digunakan dalam menentukan hukum ialah :

i. Pengharanam sesuai dengan segi keburukan dan bahaya.
Apabila dikaji tentang prinsip yang keempat dapatlah dirumuskan bahawa pengharaman penggunaan stunning captive bolt adalah sesuai dengan keburukan dan bahayanya kerana penggunaan alat tersebut boleh menyakitkan haiwan yang akan menyebabkan gegaran otak dan kerosakan pada bahagian otak.[15]

ii. Yang Menarik kepada Haram hukumnya haram.
Mengikut prinsip yang keenam ini, dapatlah kami rumuskan bahawa penggunaan stunning jenis captive bolt adalah haram kerana keadah yang digunakan seolah-olah menyeksa binatang dan boleh menyebabkan binatang tersebut mati, maka perkara ini telah menarik kepada melakukan perkara haram dan hukumnya ialah haram.[16]

iii. Niat baik tidak boleh membersihkan haram.
Islam sentiasa menghargai setiap dorongan yang mulia,maksud yang baik serta niat yang bersih dalam perundangan-perundangannya dan tujuannya secara keseluruhannya. Dalam hal ini niat penggunaaan stunning ini adalah untuk maningkatkan produktiviti, menjana ekonomi dan meningkatkan hasil pengeluaran tetapi jika kaedah yang digunakan adalah bertentangan dengan al-Quran dan al-sunnah maka ianya tetap haram. Ini kerana penggunaan stunning akan member kesan sampingan dan memudharatkan haiwan tersebut.[17]



RUMUSAN

Daripada kajian yang telah dilakukan dapatlah dirumuskan bahawa penggunaan stunning diharuskan tetapi mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Penggunaan teknologi moden pada hari ini juga perlulah selari dengan tuntutan syarak. Sebagai seorang muslim kita perlulah mencari makanan dan segala keperluan hidup berasaskan sumber-sumber yang halal lebih-lebih lagi dalam permasalahan daging halal. Ini kerana negara kita juga tidak terkecuali dalam mengimport daging dari negara-negara barat dan status halal adalah di ragui.

Walaubagaimanapun, jika kita terpaksa mengimport daging, kami mencadangkan agar rumah penyembelihan, gudang pembekuan, perkhidmatan pengangkutan di dalam negara itu, di miliki (atau sekurang-kurangnya sebahagian) dan diusaha oleh orang Islam, untuk memastikan kualiti halal dalam jangka masa yang panjang dan berterusan. Sekadar melantik pertubuhan Islam yang hanya memantau dan mengeluarkan pensijilan halal terhadap proses penyembelihan adalah tidak mencukupi. Kerap kali kita mendengar tentang kes di mana pengusaha bukan Islam tidak mematuhi peraturan syariah, walaupun pada masa pensijilan mereka melaksanakannya dan layak memegang sijil halal; tetapi selepas peringkat pengawasan, haiwan ternakan itu disembelih oleh orang bukan Islam, mereka memutuskan saluran darah dengan berlebihan, mencampurkan daging halal dan haram, menyembelih tanpa Basmallah / Tasmiyah ( Bismillahi Allahu Akbar) atau menggunakan pita rakaman untuk Basmallah.

Sebenarnya terdapat ramai individu Islam yang terkenal di Australia, New Zealand, negeri Cina atau India yang boleh dipercayai untuk mengambil tugas mengawal “Halal Assurance System” - penyembelihan, penyimpanan, dan pengangkutan ke pelabuhan. Kerajaan kita boleh menolong saudara seIslam di negara bukan Islam untuk mewujudkan pusat penyembelihan sebagai joint-venture dan yakinlah bahawa tindakan sebegitu akan membawa keberkatan dan kita akan mendapat kepastian tentang status halal daging yang diimport itu. Kami percaya lesen untuk mengimport daging halal patut diberi hanya kepada orang Islam. Yang penting, “HALAL”, merupakan satu akad dan tanggungjawab peribadi seseorang Islam kepada orang Islam lain, berasaskan kepercayaan sesama Islam.






BIBLIOGRAFI

Dr. Yusuf al-Qardhawi, terjemahan Syed Ahmad Semait (2007). Halal dan haram
dalam Islam. Singapura: Pustaka Islamiyah Pte Ltd.

Jufri Bin Abdullah dan Zulfaqar Bin Mamat (2006). Penggunaan stunning menurut
pandangan Islam dlm Jurnal Halal (hlm 39 – 51). Kuala Lumpur : Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia.

Mohamad Izuan Moin (2004). Kaedah penyembelihan ayam secara moden
(water stunner) dianalisis mengikut perspektif fiqh. Latihan Ilmiah, Universiti
Malaya, Kuala Lumpur.

http://krj-tganu.blogspot.com/2006/01/cara-penyembelihan-islam-zalim.html
http://ehalal.hdcglobal.com/content_view.php?IDarticle=28

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0624&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm





[1] Surah al-Baqarah ayat 168 surah ke 2 (hlm 25) rujukan al-Quran karim.

[2] Pandangan daripada pengarah institute penyelidikan produk halal (IPPH) UPM, Prof Dr Yaakob Che Man di petik dari http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0624&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
[3] Menurut Halal Industry Development Corporation dalam laman web http://ehalal.hdcglobal.com/content_view.php?IDarticle=28
[4] Penggunaan stunning menurut pandangan Islam, Jurnal Halal Jakim, Jufri Mohd Abdullah dan Zulfaqar bin Mamat halaman 40.
[5] Penggunaan stunning menurut pandangan Islam, Jurnal Halal Jakim, Jufri Mohd Abdullah dan Zulfaqar bin Mamat (halaman 40)
[6] Penggunaan stunning menurut pandangan Islam, Jurnal Halal Jakim, Jufri Mohd Abdullah dan Zulfaqar bin Mamat (halaman 43)

[7] Kaedah Penyembelihan Ayam secara moden (water stunner) Dianalisis Mengikut Perspektif Fiqh oleh Mohd Izuan bin Moin. Tesis Universiti Malaya.

[8] Rujukan internet.
[9] Jurnal Halal,Penggunaan Stunning Menurut Pandangan Islam, Jufri bin Abdullah dan Zulfaqar bin Mamat (halaman 46)
[10] Jurnal Halal,Penggunaan Stunning Menurut Pandangan Islam, Jufri bin Abdullah dan Zulfaqar bin Mamat (halaman 47)
[11] Ibid (halaman 48)
[12] Jurnal Halal,Penggunaan Stunning Menurut Pandangan Islam, Jufri bin Abdullah dan Zulfaqar bin Mamat (halaman 50)
[13] Surah al-Maidah ayat 3 surah ke 5 rujukan al-Quran.

[14] Sahih Muslim dalam kitab korban bab harus menyembelih dengan menggunakan apa sahaja yang boleh menumpah darah kecuali gigi, kuku dan tulang. Nombor hadith dalam maktabah syamilah (3638)
[15] Halal dan haram dalam Islam oleh dr Yusuf al-Qardhawi terjemahan Syed Ahmad Semait (halaman 41)
[16] Ibid (halaman 48)
[17] Ibid (halaman 50)

1 comment:

  1. bole ke sy nak minta izin untuk ambil beberapa maklumat dalam blog ini sebagai bahan untuk tesis?

    ReplyDelete